Sumbangan Śaṇkara Sankaracharya

Penulisan

 Śaṇkara merupakan seorang penulis yang prolifik. Beliau telah meninggalkan banyak karya-karya yang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: Bhāṣya, Prakaraṇa, dan Stotra.

  •  Bhāṣya ialah eksposisi terperinci yang berasaskan kepada kitab-kitab asas falsafah Vedanta dan agama Hindu iaitu Brahmasutras, Upanishad dan Bhagavad Gita (dikenali sebagai Prasthānatraya). Beliau juga telah menulis ulasan Viṣṇusahasranāma (Mahābhārata, Anuśāsanparva, bab 149), Sanatsujātīya (Udyogaparva, bab 40-45) dan Lalitātriśatī.
  •  Prakaraṇa ialah karya-karya ringkas Advaita Vedānta. Antara karya yang popular ialah: Aparokṣānubhūti, Ātmabodha, Laghuvākyavṛtti, Upadeśasāhasrī, Vākyavṛtti, dan Vivekacūdāmaṇi.
  •  Stotra atau puisi-puisi suci oleh Śaṇkara ialah Ānandalaharī, Bhajagovindastotra, Dakṣināmūrtyaṣṭaka, Daśaślokī, Gopālāṣṭaka, Harimīḍestotra, Manīṣāpañcaka, Śivabhujaṅgaprayāta, Sopānapañcaka dan Viṣṇuṣaṭpadī.
  •  Selain ini, Śaṇkara juga dikatakan telah menghasilkan dua karya Tantra iaitu Prapañcasāra dan Saundaryalaharī.  

Dengan merantau ke seluruh benua India, Śaṇkara menghidupkan semula pembelajaran Veda.

Śaṇkara melakukan semua ini dan lebih lagi tanpa sedikit pun merendahkan martabatnya atau terpesong daripada prinsip kehidupan rahibnya. Hanya seorang Avatārapuruṣa (jelmaan Tuhan) dapat mencapai kejayaan yang mengagumkan ini.[6]

Memulakan Institusi Kerahiban Hindu

Śaṇkara amat menekankan kemuliaan kehidupan rahib. Beliau sendiri telah menjadi seorang rahib pada usia yang muda. Pada zaman itu, pengaruh mazhab Mīmāṃsā yang mengutamakan upacara sembahyang dan korban amat berleluasa. Pengikut-pengikut mazhab Mīmāṃsā menjalani kehidupan berumahtangga dan memandang rendah pada rahib-rahib. Dalam lawatannya ke seluruh benua India, Śaṇkara berdepan dengan ramai pengikut-pengikut mazhab Mīmāṃsā dan mencabar amalan mereka. Beberapa orang seperti Mandana Misra selepas dikalahkan oleh Śaṇkara, melepaskan kehidupan keluarga mereka dan menjadi rahib.

Bagi memperkukuhkan institusi kerahiban, Śaṇkara sendiri memulakan empat buah biara (matha) di empat tempat iaitu di Purī (di negeri Orissa), Śṛṅgerī (di negeri Karnataka), Dvāraka (di negeri Gujarat) dan Badarī (di Uttar Pradesh). Beliau juga melantik empat orang pengikut utamanya sebagai ketua biara-biara ini. Demikian, Śaṇkara membentuk tradisi kerahiban yang berpanjangan untuk meneruskan dengan kerja-kerja yang telah dimulakannya. Rajah berikut menunjukkan butiran empat biara ini:

No.NamaTempatKetua Pertama
1Śāradā MaṭhaŚṛṅgerīSureśvara
2Kālikā MaṭhaDvārakāHastāmalaka
3Jyotir MaṭhaBadarīToṭaka
4Govardhana MaṭhaPurīPadmapāda
Daśanāmī-Sampradāya 

Śaṇkara juga mengatur pengikut-pengikut rahibnya dalam sepuluh kumpulan dan memulakan tradisi kerahiban yang berterusan. Kumpulan rahib yang dimulakan oleh Śaṇkara dikenali sebagai Daśanāmī-Sampradāya iaitu:

Daśanāmī-SampradāyaCiri-ciri utama
1.PurīMenandakan seseorang yang penuh dengan Ilmu Brahman. (Dianggap sebagai kumpulan rahib yang tertinggi.)
2.AraṇyaMenandakan seorang rahib yang menetap di Aranya atau sebuah hutan, terputus daripada segala hal-ehwal dunia.
3.ĀśramaMenandakan seorang rahib yang tinggal di sebuah biara (asrama) dan tanpa merantau ke sana sini.
4.BhāratīMenandakan seseorang yang berilmu dan telah melepaskan segala beban.
5.GiriMenandakan seseorang yang kukuh seperti sebuah gunung (=Giri) atau seseorang yang tinggal di kaki Gunung.
6.ParvataMenandakan seseorang yang tinggal di kaki bukit dan mempunyai pengetahuan kuat akan sifat fana dunia.
7.SaraswatīMenandakan seseorang yang amat berpendidikan dan mahir dalam yoga.
8.SāgaraMenandakan seseorang yang telah menyelam ke dalam lautan Ilmu dan mengutip mutiara kebenaran.
9.TīrthaMenandakan seseorang yang telah bermandi di pertemuan sungai-sungai Ilmu dan menyedari kebenaran ‘Tat Tvam Asi’ (‘Kau ialah Itu’)
10.VanaMenandakan seseorang yang telah melepasi semua tarikan nafsu dan tinggal dengan aman di hutan.

Keharmonian antara Agama-Agama

Menurut Rgveda (1,164.46) 'Sat' atau Kebenaran (=Tuhan Yang Mutlak) ialah satu, tetapi para wali memanggil-Nya dengan pelbagai nama. Maka, dewa-dewi dalam agama Hindu ialah penjelmaan atau manifestasi Tuhan Yang Maha Esa atau disebut sebagai Brahman (atau Paramātman) dalam kitab-kitab suci Hindu. Namun, dengan peredaran masa, pelbagai mazhab dan kultus berkembang. Penganut-penganut mazhab-mazhab ini yang telah melupakan ajaran Veda dan falsafah Tuhan Yang Maha Esa, menjadi fanatik dan ada kalanya bermusuhan dengan penganut mazhab lain.

Bagi mengembalikan ajaran Veda dan membetulkan sikap penganut pelbagai mazhab yang fanatik, Śaṇkara memperkenalkan satu kaedah untuk menyatukan mereka. Hasilnya ialah bentuk pemujaan Pañcāyatana, iaitu penyembahan serentak lima dewa iaitu Viṣṇu, Śiva, Shakti, Gaṇesha dan Sūrya. Beliau menjelaskan bahawa semua dewa-dewi ini merupakan penjelmaan berlainan Brahman Yang Esa. Seseorang boleh meletakkan dewa kegemarannya di tengah-tengah dan empat dewa-dewa lain di empat penjuru untuk bersembahyang.